Pengurusan

Fungsi Syarikat Enterprise, PLT dan Sdn Bhd

· oleh Lufti Rahman · 3 min bacaan

Fungsi Syarikat Enterprise, PLT dan Sdn Bhd

Terdapat 3 jenis entiti perniagaan yang paling banyak didaftarkan di Malaysia iaitu perniagaan Enterprise, Syarikat PLT dan Syarikat Sdn Bhd. Lagi satu entiti perniagaan ialah syarikat Berhad. Syarikat Berhad kebiasaannya berfungsi sebagai syarikat yang akan diapungkan sahamnya di pasaran saham dan jika di Malaysia, ianya akan diapungkan di Bursa Malaysia. Namun begitu, ada juga syarikat berhad yang sahamnya tidak diapungkan di Bursa Malaysia. Maklumat berkenaan Syarikat Berhad akan dibincangkan pada entri lain dan dalam entri ini akan memfokuskan kepada 3 jenis entiti perniagaan yang paling banyak didaftarkan di Malaysia iaitu perniagaan Enterprise, Syarikat PLT dan Syarikat Sdn Bhd.

Perniagaan Enterprise

Perniagaan enterprise adalah entiti perniagaan yang paling senang untuk didaftarkan dan diuruskan. Yurannya RM60 setahun jika menggunakan nama tred dan RM30 setahun jika menggunakan nama sendiri, iaitu rendah jika dibandingkan dengan perniagaan yang akan dijalankan. Perniagaan enterprise mempunyai liabiliti atau tanggungan penuh keatas pemiliknya. Bermaksud, jika perniagaan membuat keuntungan, pemilik juga membuat keuntungan dan sebaliknya jika mengalami kerugian. Oleh sebab liabiliti penuh bagi enterprise adalah pada pemilik perniagaan, harus berhati-hati jika melibatkan hal-hal kewangan perniagaan. Kebiasaannya perniagaan Enterprise didaftarkan untuk perniagaan kecil kecilan dan tidak berhasrat untuk berkembang dengan besar dalam masa terdekat. Jika ingin berkembang, usahawan akan mendaftarkan Syarikat PLT ataupun Sdn Bhd pula.

Syarikat PLT

Syarikat PLT adalah berkedudukan di tengah-tengah antara perniagaan Enterprise dan Sdn Bhd. Syarikat PLT biasanya didirikan oleh syarikat permulaan atau startup dan ianya mempunyai beberapa kelebihan berbanding Enterprise. Yuran pendaftaran bagi PLT adalah sebanyak RM500 dan tiada komitmen untuk membayar auditor kerana akaun bagi syarikat PLT tidak wajib diaudit. Selain itu, PLT tidak mempunyai saham. Pembahagian keuntungan antara pemilik (rakan kongsi) ditetapkan dalam perjanjian PLT. Bagi para pengasas (founder) syarikat yang ingin memulakan perniagaan baru, boleh mempertimbang untuk menubuhkan syarikat PLT terlebih dahulu. Namun, sesetengah bank dan pelabur mungkin lebih selesa dengan syarikat yang mempunyai akaun beraudit. Jadi, jika perancangan anda melibatkan pelaburan tambahan atau pembiayaan yang besar, pertimbangkan untuk menubuhkan syarikat Sdn Bhd.

Syarikat Sdn Bhd

Syarikat Sdn Bhd adalah jenis syarikat yang senang untuk mendapatkan pelaburan dan jika inginkan perkembangan syarikat, pendaftaran syarikat Sdn Bhd adalah sangat wajar. Berbanding Enterprise dan PLT, komitmen bagi syarikat Sdn Bhd adalah sedikit tinggi. Fi pendaftaran kepada SSM ialah RM1,000, ditambah RM10 untuk perkongsian data syarikat dengan agensi berkaitan. Selepas itu, syarikat perlu melantik setiausaha syarikat (company secretary) dalam tempoh 30 hari, dan bayaran khidmatnya berbeza mengikut firma. Peruntukkan juga bayaran juru audit, kecuali jika syarikat layak mendapat pengecualian audit daripada SSM. Walaupun kos adalah sedikit tinggi, tetapi ianya berbaloi dengan nilai yang diperoleh jika mempunyai syarikat Sdn Bhd. Disamping memudahkan untuk mendapatkan pembiayaan, ianya juga telus kepada semua pihak jika ingin menyertai syarikat kita kelak.

Kesimpulan

Yang paling penting dalam pendaftaran perniagaan adalah, ketahui objektif terlebih dahulu. Kemudian, kenal pasti jenis perniagaan yang manakah sesuai untuk didaftarkan. Semoga bermanfaat.


Sumber:

Dikemas kini oleh editor SME Niaga pada Oktober 2026.

Featured Image: Business photo created by freepik - www.freepik.com