5 Perbezaan Sdn Bhd dan Enterprise

Antara soalan popular yang sering diajukan oleh para usahawan sama ada baru atau lama ialah berkenaan perbezaan diantara syarikat Sendirian Berhad dikenali sebagai Sdn. Bhd. dan Enterprise. Soalannya pendek sahaja, jawapannya mungkin boleh jadi panjang berjela.
Dalam artikel ini, diterangkan 5 perbezaan ketara diantara syarikat Sdn. Bhd. dan Enterprise yang penting untuk difahami.
#1 - Akta Syarikat VS Akta Perniagaan
Syarikat Sdn. Bhd. ditubuhkan dan dikawal oleh Akta Syarikat 2016, sebelum ini dibawah Akta Syarikat 1965. Manakala perniagaan Enterprise didaftarkan dan dikawal oleh Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan dibawah Akta Perkongsian 1961 untuk perniagaan Perkongsian.
- Akta adalah undang-undang yang diguna pakai.
- Perniagaan Enterprise mempunyai dua jenis iaitu Milikan Tunggal dan Perkongsian dan bukanlah sebuah Syarikat, ia adalah lesen perniagaan, yang membolehkan anda berniaga mengikut undang-undang perniagaan di Malaysia.
#2 - Pengarah VS Pengurus
Tanggungjawab menguruskan syarikat terletak di bahu pengarah syarikat yang menjalankannya bersama-sama pengarah-pengarah syarikat Sdn. Bhd. yang lain. Berbeza dengan enterprise di mana tanggungjawab pengurusannya terletak di bahu pengurus merangkap pemiliknya.
Jawatan yang menanggung liabiliti yang digunakan dalam Sdn. Bhd. adalah
- Ketua Pegawai Eksekutif
- Chief Executive Officer
- CEO
- Pengarah Urusan
- Managing Director.
Dimana dibawahnya terdapat jawatan eksekutif yang lain seperti
- Ketua Pegawai Operasi
- Chief Operating Officer
- COO
Dalam perniagaan Enterprise jawatan yang menanggung liabiliti adalah
- Pengurus
- Pemilik Perniagaan
#3 - Liabiliti Berasingan VS Liabiliti Tunggal
Liabiliti bermaksud tanggungan. Tanggungan syarikat Sdn. Bhd. adalah berasingan dari para pemiliknya. Dalam maksud kata mudah, jika syarikat Sdn. Bhd. bankrap, hanya harta syarikat akan dirampas untuk menjelaskan hutang-piutang syarikat tanpa menyentuh harta pemiliknya. Namun, harta pemilik masih boleh terlibat jika pemilik memberi jaminan peribadi (personal guarantee) kepada bank.
Ini berbeza dengan perniagaan Enterprise dimana apabila perniagaan Enterprise jatuh bankrap, kesemua harta perniagaan dan pemiliknya akan dirampas untuk menyelesaikan hutang piutang perniagaan tersebut.
Bankrap boleh disebabkan oleh pinjaman dengan pihak bank atau individu yang mempunyai perjanjian sah disisi undang-undang.
#4 - Wajib Melantik Professional VS Tidak Wajib
Syarikat Sdn. Bhd. wajib melantik setiausaha syarikat dalam tempoh 30 hari selepas ditubuhkan, manakala perniagaan Enterprise tidak perlu.
Syarikat Sdn. Bhd. juga perlu melantik juru audit, kecuali jika layak mendapat pengecualian audit daripada SSM. Syarikat dorman yang memenuhi syarat dikecualikan. Syarikat persendirian lain layak jika memenuhi sekurang-kurangnya dua daripada tiga kriteria (hasil tahunan, jumlah aset dan bilangan pekerja) bagi tahun kewangan semasa dan dua tahun kewangan sebelumnya. Had ini dinaikkan secara berperingkat mengikut tahun penyerahan:
- Mulai 1 Januari 2026: hasil dan aset masing-masing tidak melebihi RM1 juta, pekerja tidak melebihi 10 orang.
- Mulai 1 Januari 2027: hasil dan aset masing-masing tidak melebihi RM2 juta, pekerja tidak melebihi 20 orang.
- Mulai 1 Januari 2028: hasil dan aset masing-masing tidak melebihi RM3 juta, pekerja tidak melebihi 30 orang.
Pengecualian ini tidak terpakai kepada semua syarikat, contohnya anak syarikat kepada syarikat awam. Jadi, berbincanglah dengan akauntan anda dahulu.
#5 - Serah simpan Laporan Tahunan VS Perbaharui Lesen Tahunan
Syarikat Sdn. Bhd. perlu menyerah simpan penyata tahunan (annual return) dan penyata kewangan setiap tahun ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Penyata kewangan perlu diaudit, kecuali bagi syarikat yang layak mendapat pengecualian audit. Manakala perniagaan enterprise hanya perlu memperbaharui lesen perniagaan samada secara tahunan atau kekerapan lain yang dibenarkan oleh pihak SSM.
Selain dari lima perbezaan yang dinyatakan, terdapat banyak lagi perbezaan lain diantara kedua-dua jenis perniagaan. Yang dinyatakan ini adalah bahagian penting untuk difahami.
Sumber:
- SSM: Practice Directive 10/2024, Qualifying Criteria for Audit Exemption
- SSM: Guidelines For Incorporation of A Local Company
Disusun semula dari penulisan asal yang ditulis di laman web Tuan Shaiham Ibrahim. Dikemas kini oleh editor SME Niaga pada Oktober 2026.
Tuan Shaiham Ibrahim adalah Pengasas dan CEO MSIB Group Sdn. Bhd. berpusat di Kuala Lumpur. Setiausaha Syarikat berlesen (Professional) oleh SSM. Aktif memberi ceramah dalam seminar dan Youtube serta menulis blog berkaitan ilmu pensyarikatan.
Featured Image: pixabay.com


